Tag Archives: watch

Muraqabah: Satu Huraian Tafsir Mawdu`i

Muraqabah: Satu Huraian Tafsir Mawdu`i

Pendahuluan

Muraqabah atau muraqabatullah adalah suatu sifat mu’min yang dianggap mulia kerana dengannya seorang mu’min menjalani seluruh perjalanan hidupnya dengan perasaan bahawa dia senantiasa di dalam pengawasan Tuhannya. Kajian ini berobjektif menghuraikan maksud ‘muraqabah’ menggunakan pendekatan tafsir mawdu`i, dengan mengkaji beberapa ayat al-Qur’an yang berkait dengan konsep ini.

Pengertian dan Definisi

‘Muraqabah’ berasal daripada perkataan ‘raqaba’ (ﺭﻗﺐ) ang bererti memerhati, menyaksi dan mengawasi. Dan ‘muraqabah’ (ﻣﺮﺍﻗﺒﺔ) pula membawa maksud pemerhatian dan pengawasan.

Kata kerja ‘raqaba’ sama erti dengan ‘ra’â’ (ﺭﺃﻯ), ‘rasada’ (ﺭﺻﺪ) dan ‘nazara’ (ﻧﻈﺮ), cuma penggunaan setiap perkataan mungkin terdapat sedikit perbezaan.

Muraqabah atau muraqabatullah pula membawa maksud pengawasan terhadap zat yang menjaga dirinya (Allah) dan menaruh perhatian yang sebesar-besarnya kepadaNya[i]. Maksud muraqabah juga dihuraikan melalui hadith Jibril mengenai ihsan, yakni ‘… kamu beribadat kepada Allah seolah-olah kamu melihatNya, dan sekiranya kamu tidak melihatNya maka Dia melihat kamu’ [Muslim].

Muraqabah: Huraian Tafsir Mawdu`i

Pengawasan Allah Terhadap Manusia

Perasaan muraqabah adalah lahir daripada perasaan manusia yang mengaku bahawa dirinya adalah dijadikan, dan yang menjadikannya adalah Allah, Rabb sekalian alam.

Wahai manusia, bertaqwalah kamu kepada Tuhan kamu, yang telah menjadikan kamu daripada seorang manusia (Adam) dan yang telah menjadikan daripadanya pasangannya (Hawa), dan dijadikan daripada keduanya lelaki dan perempuan yang ramai. Dan bertaqwalah kepada Allah yang dengannya kamu meminta dan (menjaga) perhubungan al-rahim. Sesungguhnya Allah itu Maha Memerhati ke atas kamu.” [Al-Nisâ’ 4:1]

Ini adalah suatu peringatan oleh Allah kepada manusia untuk bertaqwa dan hanya menyembahNya semata, setelah Allah memberi peringatan akan kekuasaannya menjadikan manusia, maka Dialah juga yang berkuasa mengawasi segala tindak-tanduk manusia yang dijadikan olehNya sendiri.

Kekuasaan Allah ini diceritakan lagi dalam bentuk yang lain, yakni penciptaan langit dan bumi di dalam surah al-Hadîd.

Dialah yang telah menjadikan langit dan bumi dalam enam hari kemudian Dia beristawa di atas `Arash. Dia tahu apa yang masuk ke bumi dan keluar daripadanya, apa yang turun dari langit dan naik kepadanya. Dan dia bersama kamu di mana sahaja kamu berada, dan Allah itu Maha Melihat apa yang kamu lakukan.” [Al-Hadîd 57:4]

Setelah diperingatkan akan kekuasaannya yang menjadikan langit dan bumi, Allah memperingatkan bahawa Dialah juga yang Maha Mengetahui apa yang di dalam kedua-duanya. Begitulah juga manusia di dunia tidak akan dapat lari daripada pengawasan Allah, samaada ia berada di darat, laut atau udara, pada setiap ketika samaada malam atau siang, apa yang zahir mahupun yang di dalam perasaan atau hati. Dan al-Rasul (s) bersabda sebagaimana yang diriwayatkan daripada `Ubbadah bin al-Sâmit: ‘Sesungguhnya sebaik-baik iman adalah engkau mengetahui Allah bersama kamu di mana sahaja kamu berada.’ [Abu Na`im]

Catatan Amal Manusia dan Hisab Akhirat

Sifat muraqabah Allah terhadap segala amal manusia berkait rapat dengan keimanan bahawa segala amalan itu akan dicatit dan dihisab di akhirat kelak.

(Ingatlah) apabila dua yang menerima itu (malaikat) menerima, satu di sebelah kanan dan satu di sebelah kiri. Tidak ada suatu perkataan yang diucapkan melainkan ada di sisinya pemerhati, yang bersedia.” [Qâf 50:17-18]

Maha Suci Allah dengan kebijaksanaanNya telah menjadikan malaikat-malaikatnya yang sentiasa bersama manusia, bersedia mencatat segala perbuatan dan perkataannya tanpa cuai sesaat sekalipun. Beginilah juga yang telah difirmankanNya di dalam ayat lain:

Tetapi sesungguhnya terdapat mereka yang memerhati ke atas kamu. Yang mulia, dan yang mencatit. Mereka tahu apa yang kamu lakukan.” [al-Infitâr 82:10-12]

Sesungguhnya Tuhan kamu sentiasa memerhati.” [Al-Fajr 89:14]

Ayat ini juga ditafsirkan sebagai pengawasan Allah ke atas makhluk-makhlukNya. Pada Akhirat kelak akan diadakan perhitungan atas segala amal perbuatan ini, dan Allah jua yang akan mengadili dengan keadilanNya dan kebijaksanaanNya.

Penafian Tuhan-tuhan Palsu

Adapun muraqabah dalam ertikata pemerhatian yang mutlak adalah sifat eksklusif Allah Ta`ala. Allah menempelak mereka yang mengambil ilah-ilah selain daripadaNya, dengan mencabar akan sifat-sifat mereka berbanding denganNya.

Maka apakah Dia (Allah) yang menjadi qâ’im ke atas setiap seseorang, dan Maha Mengetahui akan apa yang dia telah lakukan, lantas mereka menjadikan baginya sekutu-sekutu? Katakanlah: Namakan mereka (sembahan-sembahan itu)! Adakah kamu ingin memberitahuNya sesuatu yang Dia tidak ketahui di bumi atau adakah ia hanya kata-kata (dusta) yang nyata?” [Al- Ra`d 13:33]

Qâ’im (ﻗﺎﺋﻢ) membawa maksud yang menjaga, mengetahui, memperhatikan. Lantas Allah bertanya apakah sifatNya ini sama dengan berhala-berhala yang langsung tidak mendengar, melihat mahupun berfikir? Ini adalah suatu cabaran kepada mereka yang menyembah ilah selain daripadaNya: Cuba mereka sebut sifat ilah-ilah ini berbanding Allah?

Pemerhatian Allah Terhadap Orang Kafir dan Mushrik

Di dalam al-Qur’an Allah banyak menempelak orang-orang kafir dan mushrik bahawa segala amal perbuatan mereka diperhatikan olehNya, begitu juga perbuatan permusuhan dan kezaliman mereka terhadap hamba-hambaNya yang salih. Dan akhirnya Dialah yang akan membalas kekafiran mereka dengan sekeras-kerasnya.

Dan (ingatlah) apabila Allah akan berkata (pada Hari Qiamat): ‘Wahai Isa bin Maryam! Adakah engkau telah berkata kepada manusia: Sembahlah aku dan ibuku sebagai dua ilah selain daripada Allah?’ Dia (Isa) akan berkata: ‘Maha Suci Engkau (Ya Allah), bukanlah untuk aku berkata apa yang aku tiada hak. Sekiranya aku telah berkata yang demikian, nescaya Engkau telah mengetahuinya. Engkau tahu apa yang di dalam diriku sedangkan aku tidak tahu apa yang di dalam diri Engkau, Engkaulah yang mengetahui apa yang tersembunyi. Tidaklah aku mengatakan kepada mereka melainkan apa yang Engkau perintahkan aku untuk berkata (yakni): Sembahlah Allah, Tuhanku dan Tuhanmu. Dan aku adalah saksi ke atas mereka ketika aku tinggal bersama mereka, tetapi apabila Engkau mengangkatku, Engkaulah pemerhati ke atas mereka, dan sesungguhnya Engkau adalah saksi ke atas segala sesuatu.” [Al-Mâ’idah 5:116-117]

Ini adalah suatu peristiwa yang pasti akan berlaku pada hari Qiamat, di mana Allah menanyakan soalan ini pada Nabi Isa di hadapan kaum Nasrani. Maka Nabi Isa akan memberikan jawapan ini sebagai jawapan yang paling sempurna. Bahawa sesungguhnya Allah menjadi saksi akan segala pembohongan kaum Nasrani yang menyembah Nabi Isa dan ibunya Maryam sebagai ilah. Ayat ini menjadi bukti bahawa apa yang didakwa oleh orang Nasrani sebagai ajaran Nabi Isa adalah sebenarnya pembohongan yang mereka sendiri ada-adakan setelah Allah mengangkat Nabi Isa ke langit. Maka pada Hari Kebangkitanlah kebenaran ini akan dizahirkan di hadapan mereka yang mendustakan ayat-ayatNya!

Sebagaimana para Nabi (s) terdahulu, da`wah Nabi Muhammad (s) juga tidak pernah sepi daripada gangguan dan ujian orang-orang yang mengingkarinya. Di antara mereka yang paling berat permusuhannya dengan al-Rasul (s) adalah Abu Jahal, sebagaimana yang termaktub di dalam Surah al-`Alaq:

Adakah engkau (wahai Muhammad) melihat dia (Abu Jahal) yang menghalang, seorang hamba (Muhammad) yang salat? Katakanlah, kiranya dia (Muhammad) di atas jalan hidayah? Atau menyuruh ke arah taqwa? Katakanlah, sekiranya dia (Abu Jahal) mendustakan dan berpaling? Tidakkah dia tahu bahawa Allah melihat? Bahkan! Sekiranya dia (Abu Jahal) tidak berundur, nescaya Kami tangkap dia pada rambutnya. Rambutnya yang dusta dan yang salah! Maka, biarkan dia memanggil sekutu-sekutunya. Kami akan memanggil al-Zabaniyah. Bahkan! Janganlah engkau (wahai Muhammad) patuh kepadanya, dan sujudlah dan dekatkanlah (dirimu kepada Allah).” [Al-`Alaq 96:9-18]

Ayat ini mengisahkan keadaan Abu Jahal yang pernah melarang al-Rasul (s) daripada salat di Ka`bah, sebagaimana yang diceritakan oleh Ibnu `Abbas. Abu Jahal mengancam akan memijak leher Nabi Muhammad (s) sekiranya dijumpainya, dan apabila berita ini sampai kepada Nabi (s) dan baginda bersabda: Jika dia berani buat demikian pasti dia akan ditangkap dan dibinasakan oleh malaikat. Manakala hadith daripada Abu Hurairah pula menceritakan bagaimana Abu Jahal tiba-tiba lari daripada Nabi Muhammad (s) ketika hendak diganggunya, dan apabila ditanya dikatakan olehnya: ‘Di antaraku dengan Muhammad ada parit api dan raksasa yang bersayap.’ Lalu disabdakan oleh al-Rasul (s): Sekiranya dia (Abu Jahal) dekat dengan kepalaku nescaya akan ditangkap oleh malaikat dan dirobek anggota badannya satu persatu. [Ibnu Jarir]

Sesungguhnya Allah Maha Melihat apa yang dilakukan oleh musuh-musuh yang menganiaya mereka yang ikhlas berjuang di jalanNya. Walaupun di dunia tampak musuh-musuh Islam ini berkuasa dan ramai pembantunya, tetapi kuasa Allah akan mengatasi segalanya. BalasanNya kelak akan menimpa mereka samaada di dunia ataupun di akhirat.

Tiada bentuk kekufuran yang dapat lepas daripada pengetahuan Allah, samaada kekufuran ini dizahirkan melalui permusuhan yang terbuka terhadap Islam ataupun ia disembunyikan di dalam hati sebagaimana halnya golongan munafiq.

Dialah (Allah) yang mengetahui khianat mata-mata, dan apa yang disembunyikan di dalam hati.” [Ghâfir 40:19]

Sesungguhnya tiada yang tersembunyi daripada Allah, apa yang di bumi mahupun yang di langit.” [Ali `Imran 3:5]

Beginilah Allah Maha Mengetahui akan mereka yang menolak kebenaran ayat-ayatNya dan mengingkari rasul-rasulNya.

Penutup

Mu’min yang mempunyai akhlak muraqabah akan sentiasa merasakan dirinya di dalam pengawasan, lalu dia akan sentiasa berhati-hati agar memastikan segala amal dan kata, zahir mahupun batin, adalah menurut syariatNya dan tidak melampaui batas-batasNya. Dia mengimani bahawa segala amalnya itu diperhatikan, dicatat dan akan dihisab di hadapan Penciptanya pada hari akhirat kelak. Dalam mengharungi perjuangannya di dunia, dia tidak akan merasa rendah atau takut kepada musuh-musuh Allah, kerana dia percaya Allah adalah waliyy dan pembantunya, yang akan sentiasa bersamanya menghadapi musuh-musuh ini.

Begitu lembut hati mereka yang mempunyai muraqabatullah, lalu malamnya dihiasi dengan suatu doa dan aduan yang paling akrab kepada Penciptanya, yang Maha Melihat lagi Maha Mendengar:

Wahai Yang Mampu Melihat nyamuk mengembangkan sayapnya,
Pada kegelapan malam yang amat kelam.
Dan Yang Melihat peluh bergantung di lehernya,
Dan sumsum di dalam tulang labah-labah,
Kesejahteraan untukku dengan bertaubat,
Maka terhapus olehnya segala kejahatanku sejak dahulu
.”[ii]


Rujukan

`Abd al-`Azîz Muhammad al-Salman, Soal-Jawab Aqidah Islam Menurut Pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, (terjemahan Melayu al-Asilatu wa al-Ajwibât al-Usuliyyah `alâ al-`Aqîdah al-Wâsitiyyah), terjemahan Akmal Mohd Zain, Darul Nu’man (KL), 1996.

Abu Zakariya Yahya bin Sharaf al-Nawawi al-Dimashqi, Riyâd al-Sâlihîn, terjemahan oleh Muhammad Amin Abu Usamah al-Arabi bin Razduq, Darussalam Publishers and Distributors (Arab Saudi), 1998.

Cowan, J Milton, Hans Wehr: A Dictionary of Modern Written Arabic, Spoken Language Services Inc. (USA), 1976.

Ibnu Kathir, Mukhtasar Tafsir Ibnu Kathir, terjemahan oleh H. Salim Bahreisy & H. Said Bahreisy, Jilid 1, PT Bina Ilmu, 2002.

Jamâl al-Dîn al-Qâsimi al-Dimashqi, Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mu’min, (terjemahan Melayu Mau`idhah al-Mu’minîn min Ihyâ `Ulum al-Dîn), terjemahan oleh H. Moh Abdai Rathomy, Victory Agencie (KL), 2002.

Muhammad Taqi al-Din al-Hilali, Muhammad Muhsin Khan, Interpretation of The Meaning of The Noble Qur’an in The English Language, Darussalam Publishers and Distributors (Arab Saudi), 1996.


Nota Akhir

[i] Jamâl al-Dîn al-Qâsimi al-Dimashqi, Bimbingan Untuk Mencapai Tingkat Mu’min Jilid 2 p. 570

[ii] `Abd al-`Azîz Muhammad al-Salman, Soal-Jawab Aqidah Islam Menurut Pegangan Ahlus Sunnah wal Jama’ah, p. 88