Kita Berbeza Tetapi…
Adikku bertanya:
“Lain sungguh mereka itu, kenapa kan begitu?”
Ku senyum, dengan pandangan ku belai wajahnya.
Adikku,
Antara malaikat pun malah berbeza,
Kita berbeza, tetapi kita tidak bersengketa.
Dari dulu tidak lari lumrahnya
Utara selatan timur barat lain-lain arahnya
Dua diri walhal tidak kan sama
Apatah lagi umat yang berjuta.
Kita sanjung `Umar, kita hormati `Abdullah[1]
Mereka berbeza tetapi menjaga ukhuwwah fillah
Kita lihat Musa, kita lihat Hamba Allah[2]
Mereka berbeza tetapi tidak pula berbalah
Jangan kan manusia, malah malaikat pun berbeza[3]
Kita berbeza, tetapi kita tidak bersengketa.
Abu Hanifah, Malik, Ahmad dan al-Shafi`i[4]
Lain pandangan tetapi saling menghormati
Tapi kita yang kononnya pengikut sejati
Lantang melaung “Itu bid`ah!” “Itu Wahhabi!”
Apatah lagi bila politik berparti
“Inilah partiku hidup dan mati!”
Umatku, umatku
Bukankah sesama kita adalah saudara[5]?
Bukankah kita umpama bangunan yang kukuh binaannya[6]?
Bukankah bersengketa akan disusuli azab seksa[7]?
Jadi di mana letak kehalusan budi?
Jadi di mana letak pertautan hati?
Apakah kerana kita berbeza, kita tidak sesekali akan bersama?
Ini hati yang mendiami manusia
Ini hati yang berbolak ke sini berbalik ke sana
Hikmah Tuhan, makhlukNya pelbagai rupa dan warna
Bangsa, bahasa, fikiran dan upaya
Bukan sejuta, malah tiada dua yang sama
Lantas mana kan mungkin tidak berbeza?
Berbeza itu lumrah, rahmat dan keringanan[8]
Ada yang mudah ke kiri, ada yang senang ke kanan.
Akhlak dan adab diabai jangan
Berbalah bergaduh berbangkang-bangkangan
Moga dijauhi gejala mengkafirkan
Persis Khawarij[9] ke atas orang beriman.
Adikku
Engkau di sana aku di sini
Warnamu merah menyala warnaku putih suci
Engkau senang ramai aku suka menyendiri
Jadi bagaimana adikku
Di sini kita mampu duduk sekali?
Bukankah ini kuasaNya yang mempertaut hati[10]?
Adikku
Apa diucap oleh kita, lain ucapnya di sebelah sana
Apa diamal oleh kita, lain amalnya oleh mereka
Terimalah hakikatnya bahawa sini dan sana tidak akan sama
Namun masa itu sedikit, tuju kita masih jauh jalannya
Jadi terhadap mereka
Yang kita setuju kita bekerjasama
Yang kita berbeza kita maafkanlah sahaja[11].
Adikku
Antara malaikat pun malah berbeza,
Kita berbeza, tetapi kita tidak bersengketa.
ukashah (2007)
Nota Akhir
[1] `Umar dan `Abdullāh bin Mas`ūd adalah dua orang sahabat Rasulullah (s) yang diketahui mempunyai perbezaan pendapat dalam beberapa perkara. Di dalam karya I`lām al-Muwaqqi`īn al-Imam Ibnu Qayyim menyebutkan mereka berdua berbeza pendapat dalam seratus isu hukum fiqh, tetapi ini tidak sekali-kali mengurangkan perasaan kasih-sayang dan hormat-menghormati di antara mereka. (Tāhā Jābir al-`Alwānī, p. 48)
[2] Merujuk kepada Nabi Mūsā dan Khidr (‘Hamba Allāh”), yang kisah mereka diceritakan di dalam Surah al-Kahf. Khidr adalah hamba Allāh yang dikurniakan pengetahuan, yang tidak sampai kepada Nabi Mūsā. Maka Nabi Mūsā tidak menyetujui beberapa perbuatan Khidr, sedangkan perbuatannya itu adalah berdasarkan pengetahuan yang Allāh berikan khusus kepadanya. Lantas di akhir perjalanan mereka bersama:
“(Khidr) berkata: “Inilah perpisahan di antara aku dan engkau, dan aku akan beritahu engkau apakah maksud (perkara-perkara itu) yang tidak dapat engkau bersabar dengannya.” (al-Kahf 18:78)
[3] Merujuk kepada perselisihan malaikat di dalam kisah penciptaan Ādam sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an (maksudnya):
“Tidaklah aku mempunya pengetahuan mengenai malaikat-malaikat yang tinggi itu ketika mereka berselisihan.” (Sād 38:69)
[4] Merujuk kepada imam-imam pengasas empat mazhab fiqh yang utama, iaitu al-Imām Abu Hanifah pengasas Mazhab Hanafi, al-Imām Malik pengasas Mazhab Māliki, al-Imām Ahmad bin Hanbal pengasas Mazhab Hanbali dan al-Imām Muhammad bin Idris al-Shafi`i pengasas Mazhab Shāfi`i.
[5] Firman Allah Ta`ala mafhumnya: “Sesungguhnya orang-orang beriman itu bersaudara. Maka perdamaikanlah di antara saudara-saudara kamu, dan bertaqwalah kepada Allāh agar kamu dirahmati.” (al-Hujurāt 49:10)
[6] Firman Allāh lagi, mafhumnya: “Sesungguhnya Allāh menyukai orang-orang yang berperang di atas jalanNya, dalam barisan yang rapi, mereka umpama bangunan yang kukuh.” (al-Saff 61:4)
[7] Firman Allāh Ta`ala mafhumnya: “Dan janganlah kamu menjadi seperti mereka yang berpecah-belah dan berselisih setelah apa yang telah didatangkan kepada mereka. Sesungguhnya bagi mereka itu azab yang besar.” (Āli `Imrān 3:105)
[8] `Umar `Abd al-`Azīz pernah diriwayatkan berkata: “Aku tidak gembira sekiranya para sahabat Rasūlullāh (s) tidak berselisih pandangan. Kerana jika mereka tidak berselisih pandangan, kita tidak memiliki rukhsah (keringanan).” (al-Bayhaqī, Ibnu `Abd al-Barr)
[9] Golongan Khawārij (juga dikenali dengan nama golongan Haruriyyah) ini muncul setelah kewafatan Nabī (s). Mereka mempunyai kefahaman mereka yang tersendiri terhadap ayat-ayat al-Qur’ān, mengengkari sekeras-kerasnya dan mengkafirkan Muslim yang berbeza pendapat dengan mereka, malah juga memerangi sahabat besar seperti `Alī bin Abī Tālib. Menurut Ibnu `Umar: “Mereka (golongan Khawārij) mengkafirkan orang Islām, menghalalkan darah mereka dan merampas harta mereka, mengahwini isteri-isteri mereka ketika di dalam `iddah, dan mengahwini perempuan yang masih bersuami dan suami mereka masih hidup. Aku tidak tahu golongan yang lebih perlu diperangi melainkan mereka.” (Yūsuf al-Qaradāwī, Islamic Awakening – Between Rejection and Extremism, pp. 69-70)
[10] Mafhum firman Allah: “Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah Engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada di bumi, nescaya engkau tidak dapat juga menyatu-padukan di antara hati mereka, akan tetapi Allah telah menyatu-padukan di antara mereka. Sesungguhnya Dia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.” (Al-Anfal 8:63)
[11] Diolah daripada kata-kata Muhammad Rashīd Ridā: “Bekerjasama di dalam perkara yang kita persetujui mengenainya, dan memaafkan di dalam perkara yang kita berbeza mengenainya.” (Yūsuf al-Qaradāwī, Kebangkitan Islam – Di Antara Perselisihan Yang Dibenarkan dan Perpecahan Yang Dicela, p. 184)