Ulasan Buku: ‘Kitab Al-Tauhid’
Pendahuluan
Pelbagai usaha dalam bidang penerbitan bahan bertulis telah digiatkan kebelakangan ini untuk menyampaikan mesej Islam dan bidang-bidang ilmunya. Sasaran pembaca untuk bahan-bahan terbitan ini berbagai, daripada khusus untuk ahli-ahli akademik dan penyelidik, sehingga kepada pembaca-pembaca umum. Antara terbitan ini pula ada yang ditulis baru (dengan membuat rujukan kepada karya atau terbitan lain) dan ada pula usaha yang menterjemah dan mensyarahkan sesuatu karya terdahulu. Sekali imbas di pasaran kebanyakan bahan terbitan ini menggunakan bahasa Inggeris – sebagai bahasa kedua selepas Bahasa Arab – sebagai bahasa penyampai, walaupun ia mengenai mesej Islam. Ini mungkin disebabkan oleh kedudukan Bahasa Inggeris sebagai bahasa perantaraan yang dianggap universal di kebanyakan tempat di dunia. Satu lagi sebab yang mungkin adalah kerana para penerbit melihat pembaca-pembaca berbahasa Inggeris sebagai sasaran utama untuk menyampaikan mesej Islam.
Untuk tujuan kajian ini pengkaji telah memilih sebuah buku berjudul Kitab Al-Tauhid, yang merupakan terjemahan kepada Kitab Al-Tauhid Al-ladhi Huwa Haqq Allah `Ala Al-`Abid oleh Shaikh al-Islam Muhammad bin `Abd al-Wahhab.
Tajuk: Kitab Al-Tauhid
Terjemahan Kitab Al-Tauhid Al-ladhi Huwa Haqq Allah `Ala Al-`Abid
Penulis: Muhammad bin `Abd al-Wahhab
Penterjemah: Compilation and Research Department Dar-us-Salam
Penerbit: Dar-us-Salam Publications (Saudi Arabia)
Tahun terbit: 1996 (Edisi Pertama)
Bilangan mukasurat: 192
Di dalam bahagian prakata oleh penerbit disebutkan tujuan kitab ini ditulis oleh Shaikh Muhammad `Abd al-Wahhab adalah untuk menerangkan mengenai asas-asas aqidah Islam melalui perspektif al-Qur’an dan al-Sunnah, dan membebaskannya daripada kepercayaan dan kebiasaan karut yang tiada berasas kepada sumber agama yang suci. Kitab ini diolah menggunakan pendalilan al-Qur’an dan al-Sunnah dalam bentuk yang mudah difahami, disertakan penerangan secara teratur dan rasional, untuk memudahkan pembaca menerimanya sebagai aqidah Islam yang benar, bebas daripada prejudis mahupun ta`sub kumpulan.
Muhammad bin `Abd al-Wahhab
Muhammad bin `Abd al-Wahhab dilahirkan di Uyainah (lebih kurang 70 km ke barat laut dari Riyadh) pada tahun 1115 Hijriah. Beliau berketurunan keluarga terpelajar dan dihormati, dan moyangnya al-Shaikh Sulaiman bin Ali adalah merupakan seorang alim yang masyhur dengan ajarannya, tulisannya serta fatwa-fatwanya.
Al-Shaikh Muhammad mendapat pendidikan Islam pada awal usianya, beliau telah menghafal al-Qur’an pada umurnya 10 tahun, serta mempelajari ilmu tafsir, hadith dan fiqh. Beliau menunjukkan minat yang mendalam pada ajaran-ajaran Shaikh al-Islam Ibnu Taimiyyah dan Ibn Qayyim. Beliau mempelajar Islam di Makkah, al-Madinah serta mengembara ke Iraq dan Basrah untuk melanjutkan ilmunya.
Tanah Arab ketika itu mengalami keruntuhan aqidah di mana perkara-perkara khurafat, syirik dan bid`ah tersebar dengan luas. Kubur, pokok, batu, gua dan makhluk ghaib dianggap mulia dan dipuja oleh ramai orang. Tiada orang berilmu yang tampil ke hadapan untuk membetulkan keadaan, malah kata-kata ahli sihir dan ahli nujum yang lebih masyhur. Melihatkan keadaan ini al-Shaikh Muhammad bertekad mengajak orang ramai ke arah tauhid dan pengabdian hakiki terhadap Allah. Atas ajakannya, beberapa orang ulama di Makkah, al-Madinah dan Yaman menyokongnya, tetapi tidak kurang pula yang mengkritiknya dan menjauhinya, disebabkan kepentingan peribadi mereka.
Pemerintah Uyainah pada masa itu, `Uthman bin Hamd bin Ma`mar menerima al-Shaikh Muhammad dan bersetuju membantu usaha da`wahnya. Dengan bantuan pemimpin ini, da`wah al-Shaikh mula tersebar dan mendapat tempat – ajarannya semakin berkembang, pemurnian aqidah di kalangan rakyat menampakkan hasil dan tempat-tempat pemujaan dijatuhkan dan dibersihkan. Tetapi kemasyhuran perubahan ini mendapat tentangan daripada pemerintah al-Ahsa yakni Sulaiman bin Urai`ar yang merasakan kedudukannya mungkin tergugat. Lalu beliau menyuruh `Uthman membunuh al-Shaikh Muhammad. `Uthman tidak berdaya mengingkari perintah Sulaiman lalu menyuruh al-Shaikh berpindah ke tempat lain.
Al-Shaikh Muhammad lalu berpindah dari Uyainah ke Dar`iyyah, dan pemerintah Dar`iyyah ketika itu Muhammad bin Sa`ud menyambut baik kedatangan al-Shaikh dan menyatakan sokongan kepadanya dan misi da`wahnya. Sekali lagi al-Shaikh dapat menyampaikan ajarannya kepada orang ramai, mengajak mereka kepada mentauhidkan Allah. Dar`iyyah menjadi pusat penyebaran ilmu, dan cabang-cabang ilmu Islam seperti Tauhid, Fiqh, al-Qur’an dan al-Sunnah, Bahasa Arab berkembang luas dan pesat. Beliau mengadakan perbincangan dan debat dengan mereka yang tidak bersetuju dengannya dan pendekatan ini nyata berhasil apabila ramai orang yang dahulu memusuhinya kini menjadi penyokongnya. Beliau juga menghantar utusan dan surat ke merata tempat, terutamanya kepada golongan pemerintah dan ulama – ke Najd, Riyadh, al-Ahsa, Makkah, al-Madinah, malah juga ke Syria, Iraq, Yaman dan India. Seterusnya ajaran dan pengaruhnya terus berkembang dan mendapat tempat di India, Indonesia, Afghanistan, Maghribi, Mesir, Syria, Iraq dan lain-lainnya.
Al-Shaikh Muhammad bin `Abd al-Wahhab meninggal dunia pada tahun 1206 Hijriah. Walaupun begitu usaha-usaha da`wah beliau diteruskan oleh keturunannya dan murid-muridnya. Beliau meninggalkan banyak karya-karya yang masyhur seperti Kitab al-Tauhid, Kitab al-Kaba’ir, Kashf al-Shubhat, Mukhtasar Sirah al-Rasul dan banyak lagi.
Sinopsis dan Ulasan
Buku ini mempunyai 67 bab atau fasal-fasal yang agak pendek. Setiap fasal membincangkan satu perbincangan utama, dimulakan dengan ayat-ayat al-Qur’an dan hadith-hadith yang menerangkan noktah ini, dan diakhiri dengan isi-isi utama daripada bab atau fasal yang dibincangkan.
Sebagai contoh fasal pertama bertajuk Al-Tauhid (The Oneness of Allah – Keesaan Allah), dihuraikan dengan firman Allah (maksudnya):
“Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu.” (al-Dhariyat 51:56)
Juga ayat (maksudnya):
“Dan Sesungguhnya Kami telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang Rasul (dengan memerintahkannya menyeru mereka): ‘Hendaklah kamu menyembah Allah dan jauhilah Taghut’.” (al-Nahl 16:36)
Juga ayat 23-24 daripada surah al-Isra’, ayat 36 daripada surah al-Nisa’, ayat 151-153 daripada surah al-An`am.
Seterusnya dibawakan dua hadith yang menerangkan konsep keesaan Allah dan larangan menyekutukannya.
Berkata Ibn Mas`ud: Sesiapa yang mengingini mematuhi wasiat Muhammad (s) yang telah termeterai maka hendaklah dia membaca ayat Allah (mafhumnya):
“Katakanlah (wahai Muhammad): “Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa… … dan sesungguhnya inilah jalanKu yang lurus.” (al-An`am 6:151-153)
Juga diriwayatkan bahawa Mu`adh bin Jabal berkata: “Aku telah menunggang di belakang al-Nabi (s) di atas himar, dan baginda bersabda kepadaku: Wahai Mu`adh, tahukah engkau apakah hak Allah ke atas hamba-hambaNya dan apakah hak hamba-hamba ke atas Allah? Aku berkata: Allah dan RasulNya yang lebih mengetahui. Baginda bersabda lagi: Hak Allah ke atas hamba-hambanya adalah untuk mengabdikan diri kepadaNya sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apapun. Hak hamba-hamba ke atas Allah adalah tidak menyeksa sesiapapun yang tidak menyekutukanNya. Aku berkata: Wahai Rasulullah, bolehkah aku memberikan berita gembira ini kepada orang ramai? Jawab baginda: Tidak. Jangan beritahu mereka kelak mereka bergantung kepadanya.” (al-Bukhari, Muslim)
Al-Shaikh Muhammad bin `Abd al-Wahhab tidak menghuraikan dengan panjang lebar, sebaliknya memberikan isi-isi dan pengajaran utama dalam bentuk 24 noktah ringkas seperti:
- Hikmah Allah menjadikan jinn dan manusia.
- Ibadah adalah tauhid, dan ia merupakan perbezaan utama (antara para Rasul dan golongan musyrikin).
- Mereka yang tidak memenuhi kehendak Tauhid sama seperti mereka tidak menyembah Allah, sebagaimana yang dimaksudkan oleh ayat (maksudnya):
“Dan kamu tidak menyembah (Allah) yang aku sembah.” (al-Kafirun 109:3)
Fasal 2 dan 3 juga menceritakan tentang kelebihan tauhid, yang dengannya dosa-dosa diampunkan dan orang yang mempunyainya dimasukkan ke dalam syurga. Salah satu hadith yang disebut adalah hadith qudsi:
“Allah `azza wa jalla berkata: Wahai anak Adam! Sekiranya engkau datang kepadaKu dengan sedunia penuh dengan dosa, dan datang kepadaKu tanpa mensyirikkan Aku dengan sesuatu, Aku akan datang kepadamu dengan keampunan dengan ukuran yang sama.” (al-Tirmidhi)
Begitu juga Fasal 4 hingga 6 membincangkan definisi Tauhid: Fasal 4 mengenai menjauhi syirik, Fasal 5 mengenai syahadah La Ilaha Illa Allah, dan Fasal 6 mengenai huraian dan persaksian Tauhid. Riya’ disebutkan sebagai satu bentuk syirik dalam Fasal 4, pesanan al-Rasul (s) kepada Mu`adh apabila beliau dihantar ke Yaman untuk mengajarkan mereka kalimah Tauhid disebutkan di dalam Fasal 5, manakala perbandingan Tauhid dengan mereka yang mengambil sesuatu sebagai ilah disebutkan di dalam Fasal 6:
“Mereka menjadikan pendita-pendita dan Ahli-ahli ugama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah” (al-Taubah 9:31)
Fasal-fasal seterusnya mula membincangkan apakah amalan-amalan seperti pemakaian azimat, penggunaan ruqyah, memohon dan bersumpah dengan makhluk dan seumpamanya adakah menepati ajaran tauhid. Dibawakan hadith-hadith di mana Rasulullah (s) melarang penggunaan gelang tembaga (untuk mengatasi rasa lemah), penggunaan azimat (tamimah) dan ranting kayu di tangan (untuk tujuan mengatasi sakit). Diterangkan juga maksud al-tama’im, al-ruqa dan al-tiwalah. Al-ruqa atau al-ruqyah contohnya diterangkan sebagai penggunaan ayat-ayat atau kalimah-kalimah, yang hanya dibenarkan untuk mengubati sengatan binatang dan kesan al-`ayn (evil eye), sebagaimana yang disebutkan di dalam hadith Husayn bin `Abd al-Rahman.
Disebutkan di dalam satu hadith marfu`:
“Sesiapa yang menggantungkan atau memakai azimat pada dirinya, akan dijadikan azimat itu yang bertanggungjawab atas dirinya.” (Ahmad, al-Tirmidhi)
Fasal 10 dan 11 membincangkan hal melakukan korban untuk selain daripada Allah, meski sekecil mana korban itu sekalipun.
Tariq bin Shihab melaporkan Rasulullah (s) bersabda:
“Seorang lelaki memasuki syurga kerana seekor lalat, dan seorang lelaki memasuk neraka kerana seekor lalat.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana itu mungkin wahai Rasulullah (s)?” Baginda berkata, “Dua lelaki melepasi satu kaum yang mempunyai berhala dan mereka tidak membenarkan seorang pun melaluinya tanpa melakukan korban. Mereka memerintahkan seorang lelaki melakukan korban, dia berkata, “Aku tidak mempunyai apapun untuk dikorbankan.” Mereka berkata, “Korbankan sesuatu, meskipun ia seekor lalat.” Dan lelaki itupun mempersembahkan seekor lalat, dan dibukakan jalan baginya, maka dia memasuk api neraka. Mereka berkata kepada seorang lagi, “Korbankan sesuatu.” Dia berkata, “Aku tidak akan mengorbankan sesuatu selain untuk Allah `Azza wa Jalla.” Mereka pun menetak lehernya, maka masuklah dia ke dalam syurga.” (Ahmad)
Fasal 11 menerangkan bahawa korban untuk Allah hendaklah dilakukan di tempat yang tidak dilakukan padanya korban lain untuk selain daripada Allah, bersandarkan hadith Thabit bin Dahhak yang diriwayatkan oleh al-Tirmidhi.
Nazar untuk selain daripada Allah adalah juga merupakan syirik (Fasal 12). Memohon bantuan, perlindungan dan al-isighathah selain daripada Allah adalah juga sebahagian daripada syirik.
“Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada daripadagolongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat.” (al-Jinn 72:6)
Ini adalah suatu yang amat mudah diterima akal kerana hujjah al-Shaikh di dalam Fasal 15, sesuatu yang dicipta dan dijadikan tidak sekali-kali boleh menjadi sesuatu yang disembah. Malah Rasulullah (s) sendiri tidak dapat menentukan nasib baik atau buruk seseorang, sebagaiman firman Allah (maksudnya):
“Engkau tidak berhak sedikitpun (wahai Muhammad) dalam urusan itu, sama ada Dia (Allah) menerima taubat mereka ataupun ia menyeksa mereka; kerana sesungguhnya mereka itu orang-orang yang zalim.” (Ali `Imran 3:128)
Fasal 17 menghuraikan mengenai syafaat (intercession), apakah syafaat yang diterima Allah dan apakah pula yang ditolak. Hak memberi hidayah kepada seseorang adalah hak mutlak Allah (Fasal 18).
Berlebih-lebihan dalam mengagungkan seseorang juga boleh mendatangkan kerosakan dan penyelewengan di dalam tauhid. Disebutkan bagaimana kaum Nuh menyembah patung-patung Wadd, Suwa`, Yaghuth, Ya`uq dan Nasr, yang dahulunya merupakan orang-orang salih yang dihormati. Dan seterusnya dibincangkan mengenai penyembahan di atas kubur, yang menyerupai syirik terhadap Allah (Fasal 20 dan 21). Rasulullah (s) sendiri melarang ummat menjadikan kuburnya tempat pemujaan dan perayaan (Fasal 22).
Fasal-fasal seterusnya membincangkan mengenai hukum sihir dan jenis-jenisnya (Fasal 24 dan 25), mengenai ilmu dan ahli nujum (Fasal 26 dan 29), mengenai jampi-jampi atau al-nushrah (Fasal 27), alamat-alamat (omens atau al-tatayyur) (Fasal 28) dan alamat melalui bintang-bintang (Fasal 30). Mengenai al-tatayyur disebutkan juga jenis-jenisnya, seperti al-tiyarah (alamat melalui burung-burung), al-hamah (alamat melalui burung malam) dan al-naw’ (alamat melalui bintang-bintang). Tetapi al-fa’l (perasaan optimis bahawa sesuatu yang baik akan berlaku dengan izin Allah) disukai oleh Nabi Muhammad (s).
Seterusnya dibincangkan pula mengenai cinta (al-hubb) kepada Allah, takut (al-khauf) kepada Allah dan tawakkal kepada Allah. FirmanNya (maksudnya):
“(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia Yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang Yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah.” (al-Baqarah 2:165)
“Sesungguhnya (pembawa berita) yang demikian itu ialah Syaitan yang (bertujuan) menakut-nakutkan (kamu terhadap) pengikut-pengikutnya. Oleh itu, janganlah kamu takut kepada mereka, tetapi takutlah kepadaKu, jika betul kamu orang-orang yang beriman.” (Ali `Imran 3:175)
“Dan kepada Allah jualah hendaklah kamu berserah (setelah kamu bertindak menyerang), jika benar kamu orang-orang yang beriman.” (Al-Maidah 5:23)
Allah melarang melakukan ibadah untuk tujuan dipertontonkan (yakni riya’, dibincangkan di dalam Fasal 36) ataupun untuk tujuan-tujuan dunia lainnya (Fasal 37).
Mereka yang mematuhi pemerintah dan ulama yang menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah dan mengharamkan apa yang dihalalkan oleh Allah, perbuatan itu menyerupai mengambil mereka (pemerintah dan ulama) sebagai ilah dan jatuh ke dalam syirik. Dan diceritakan pula perihal golongan munafiqin yang berhukum dengan selain Allah dan RasulNya di dalam Fasal 39.
Mengingkari salah satu daripada nama-nama dan sifat-sifat (al-asma’ wa al-sifat) Allah adalah mengeluarkan seseorang daripada iman, sebagaimana dijelaskan di dalam Fasal 40. Dijelaskan selanjutnya di dalam Fasal 41 mengenai orang yang mengetahui nikmat Allah tetapi tetap mengingkarinya, mereka juga termasuk di dalam golongan yang kufur. Firman Allah Ta`ala (mafhumnya):
“Mereka mengetahui nikmat Allah (yang melimpah-limpah itu), kemudian mereka mengingkarinya; dan kebanyakan mereka pula ialah orang-orang yang kufur ingkar.” (al-Nahl 16:83)
Ayat ini ditafsirkan oleh Mujahid sebagai: Seorang yang berkata: ‘Harta ini adalah milikku, aku mewarisinya daripada datuk moyangku.’
Fasal 44 menerangkan penggunaan kata-kata “Apa yang dikehendaki Allah dan apa yang dikehendaki engkau (Rasulullah (s)) yang dilarang oleh Rasulullah (s) di dalam beberapa hadith, tetapi hendaklah ia disebut maa shaa Allah (apa yang Allah kehendaki). Melaknat masa (al-dahr) adalah dilarang (Fasal 45), sebagaimana penggunaan gelaran malik al-amlak (raja segala raja). Begitu juga penggunaan nama khusus untuk Allah, sebagaimana al-Rasul (s) memberi menukar gelaran seorang sahabat daripada Abu al-Hakam kepada Abu Shuraih.
Mempermain-mainkan Allah dan al-Qur’an adalah kufur, menurut al-Shaikh Muhammad bin `Abd al-Wahhab. Firman Allah Ta`ala (mafhumnya):
“Dan jika engkau bertanya kepada mereka (tentang ejek-ejekan itu) tentulah mereka akan menjawab: “Sesungguhnya kami hanyalah berbual dan bermain-main”. Katakanlah: “Patutkah nama Allah dan ayat-ayatNya serta RasulNya kamu memperolok-olok dan mengejeknya?” (al-Taubah 9:65)
Fasal 49 melarang kata-kata seperti “Kekayaan ini adalah disebabkan oleh usaha dan pengetahuanku”, bagi menerangkan ayat 50 daripada Surah Fussilat dan kisah tiga orang Bani Isra’il yang menghidap kusta, buta dan botak kepalanya (hadith Abu Hurairah riwayat al-Bukhari).
Penggunaan al-Asma’ al-Husna (nama-nama paling indah) adalah esklusif untuk Allah, dan mengingkarinya adalah kufur (Fasal 51 dan 52). Apabila berdoa umat Islam hendaklah menaruh pengharapan sepenuhnya kepada Allah, dan tidak menggunakan kata-kata seperti “Ya Allah, ampunilah aku sekiranya Engkau mahu.” Dan sebaik-baik doa adalah yang menggunakan nama-nama Allah (Fasal 55).
Apabila berlaku sesuatu kejadian, penggunaan kata-kata “Kalaulah…” adalah dilarang. Al-Shaikh menggunakan hadith Abu Hurairah (riwayat Muslim) yang mengatakan ‘kalau’ adalah membuka kepada kerja syaitan, bagi menerangkan ayat (maksudnya):
“Mereka berkata (sesama sendiri): “Kalaulah ada sedikit bahagian kita dari pertolongan yang dijanjikan itu, tentulah (orang-orang) kita tidak terbunuh di tempat ini?” (Ali `Imran 3:154)
Di dalam sebuah hadith daripada Ubayy bin Ka`b Rasulullah (s) melarang melaknat angin, dan mengajarkan doa meminta perlindungan dengan Allah daripada angin dan kejahatan yang dibawanya (al-Tirmidhi). Ini dibincangkan di dalam Fasal 58.
Ayat 6 daripada Surah al-Fath melarang su’ al-dhann (sangkaan buruk) terhadap Allah:
“… yang menyangka terhadap Allah dengan sangkaan yang buruk” (Al-Fath 48:6)
Ibn Qayyim menerangkan bahawa ayat ini merujuk kepada mereka yang menyangka bahawa Allah tidak akan membantu RasulNya dan misi dakwahnya. Dan bagi golongan ini adalah balasan azab api neraka.
Kepercayaan kepada al-Qadr (ketetapan Allah) adalah salah satu daripada rukun iman. Fasal 60 membincangkan perihal ini berdasarkan beberapa hadith, contohnya hadith Ibn `Umar (riwayat Muslim): “Allah tidak akan menerimanya sehingga dia beriman dengan al-qadr.”
Begitu juga hadith penciptaan al-qalam (pena) oleh `Ubbadah bin al-Samit, dan hadith lain mengenai al-qadr riwayat Ibn al-Dailami dan Ibn Wahb.
Seterusnya dibincangkan mengenai larangan melukis makhluk hidup (Fasal 61), mereka yang melazimi bersumpah untuk melariskan barangan jualan (Fasal 62). Kemudian disebut juga tentang kepentingan memelihara janji Allah (`ahd Allah) (Fasal 63) dan adab bersumpah dengan nama Allah (Fasal 64).
Nabi Muhammad (s) amat menekankan kepada umatnya agar berhati-hati untuk tidak terlalu memuliakannya sehingga menyamai kedudukan Allah sebagai Rabb. Apabila seorang A`rabi (Badwi) mengatakan kepada Nabi (s) ‘Kami meminta syafaat Allah ke atas kamu, dan syafaat kamu ke atasNya’ perbuatannya itu dimarahi Nabi (s), di dalam hadith Jubair bin Mut`im (riwayat Abu Daud). Begitu juga baginda (s) menasihati satu rombongan daripada Banu `Amir yang memanggil beliau dengan gelaran ‘sayyid’ (hadith `Abdullah bin al-Shikhkhir riwayat Abu Daud, dan sebuah lagi yang serupa hadith Anas riwayat al-Nasa’i).
Fasal terakhir menceritakan tentang kekuasaan Allah dan keadaan pada hari Qiamat, sebagaimana yang diceritakan di dalam al-Qur’an:
“Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepadaNya, sedang bumi seluruhnya – pada hari kiamat – dalam genggaman kuasaNya, dan langit tergulung dengan kekuasaanNya. Maha sucilah Dia dan tertinggi keadaanNya dari apa yang mereka sekutukan.” (al-Zumar 39:67)
Ayat ini dihuraikan melalui beberapa hadith, antaranya:
“Gunung-gunung dan pokok-pokok di atas satu jari. Dan Dia akan menggoncangkannya dan berkata: Akulah al-Malik (Raja), Akulah Allah.” (Muslim)
“Allah akan meletakkan langit-langit di atas satu jari, air dan tanah atas satu jari, dan makhluk selebihnya di atas satu jari.” (al-Bukhari)
Kitab ini walaupun agak ringkas dan nipis, dapat menggariskan noktah-noktah penting di dalam ilmu Tauhid. Nyata sekali bahawa fokus perbincangannya adalah definisi sebenar tauhid dan ciri-cirinya berdasarkan tuntutan al-Qur’an dan al-Sunnah, perkara-perkara yang menyalahi tauhid (yakni kufur dan syirik), amalan-amalan yang boleh merosakkannya (seperti penyembahan kubur, mengambil yang selain Allah dan RasulNya sebagai sumber hukum, kepercayaan tahyul, khurafat) dan seterusnya nama-nama dan sifat-sifat Allah daripada sumber-sumber yang ma’thur.
Mungkin boleh dipersoalkan kenapa kitab ini tidak memberi huraian kepada aspek-aspek lain rukun iman seperti kepercayaan kepada para malaikat, nabi-nabi dan kitab-kitab. Satu penjelasan yang mungkin adalah kerana al-Shaikh Muhammad bin `Abd al-Wahhab lebih memberikan fokus kepada isu-isu tauhid yang semasa pada zamannya, yakni bentuk-bentuk ibadah yang syirik dan munkar, perlakuan bid`ah di dalam ibadah, serta kepercayaan khurafat dan tahyul, tanpa sama sekali mengetepikan rukun-rukun Iman yang lainnya.
Bentuk dan susunan kitab ini mudah dan ringkas, berserta dalil dan pengajaran utama, amat memudahkan pembaca menggarapi mesej penting tanpa perlu meneliti penghujahan yang panjang lebar. Terjemahan Bahasa Inggeris edisi ini juga mudah difahami dan tidak dijumpai banyak kesalahan ejaan atau nahu. Semua ayat al-Qur’an dan hadith yang disebutkan, disertakan dengan teks Arab yang memudahkan pembaca yang memahami (atau ingin mempelajari) Bahasa Arab.
Mungkin sedikit kekurangan edisi terjemahan ini adalah riwayat hadith yang tidak dinyatakan untuk beberapa hadith (walaupun kebanyakan hadith disebutkan riwayatnya), contohnya hadith “Apa yang aku takuti daripada kamu adalah sejenis syirik. Apabila ditanya mengenainya baginda berkata: Al-riya’ (menunjuk-nunjuk).” Hadith ini tidak dinyatakan sahabat mahupun perawi hadith yang meriwayatkannya.
Walaubagaimanapun, setiap ayat al-Qur’an yang disertakan ada dinyatakan surah dan ayatnya dengan tepat.
Usaha menterjemah karya-karya agung seperti ini ke dalam bahasa lain amatlah dialu-alukan, dalam usaha untuk menarik minat lebih ramai orang mendalami ilmu Islam. Dan karya Kitab al-Tauhid ini diketahui umum adalah di antara rujukan-rujukan utama bagi mereka yang ingin mendalami ilmu tauhid, apatah lagi ia adalah hasil tulisan seorang alim yang besar dan masyhur (malah dianggap mujaddid oleh ramai orang), Shaikh al-Islam Muhammad bin `Abd al-Wahhab.
Rujukan
Muhammad bin `Abd al-Wahhab, Kitab Al-Tauhid (terjemahan Inggeris Kitab Al-Tauhid Al-ladhi Huwa Haqq Allah `Ala Al-`Abid), terjemahan oleh Compilation and Research Department Dar-us-Salam, Dar-us-Salam Publications (1996).